KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) akan meneruskan Pogram Inovasi masyarakat luar bandar melalui Program di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) dan Pusat E-Desa.
Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan akan merancang untuk menubuhkan Pusat Sains dan Inovasi di setiap zon di negeri ini.
“Projek yang sedang dalam proses untuk pelaksanaannya ini merangkumi pembinaan Pusat Sains dan Maker Space di Perpustakaan Negeri Cawangan Sandakan dan Tawau.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mewujudkan lebih banyak perpustakaan di negeri ini yang dilengkapi dengan bahan bacaan dan sumber-sumber rujukan terkini berkaitan Sains Teknologi Inovasi (STI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan teks ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.
Sementara itu, beliau berkata, bagi mempergiat pembudayaan dan pengaplikasian STI di peringkat akar umbi, kerajaan dengan bantuan Majlis pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MapTIS) akan melaksanakan beberapa program baharu.
“Seperti program Jelajah Sabah Maju Jaya (SMJ) KSTI, Majlis Anugerah Sains Sabah, Program Jelajah Astronomi Sabah dan Sabah Malaysia Techlympics 2023.
“Dalam pada itu, DIgital Internet Of Thing (IoT) Sandbox yang pertama di Borneo telah pun beroperasi sepenuhnya di Kota Kinabalu, bertujuan menggalakkan masyarakat berdaya kreatif dan berinovasi, di samping meningkatkan pengkomersialan hasil invasi tempatan,” jelasnya.
Untuk rekod katanya, tahun ini Sabah menunjukkan peningkatan penyertaan Malaysia Techlympics kepada 78,884 berbanding tahun lepas, iaitu 31,955 penyertaan.