KENINGAU: Dua lelaki cedera parah selepas lori tangki minyak yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di bahu jalan di Jalan Kampung Bomboi, Keningau, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dilaporkan sebuah lori tangki minyak milik Kota Mas Oil Sdn. Bhd telah terbabas sendiri hingga mengakibatkan berlaku tumpahan minyak petrol dan diesel di atas jalan raya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.12 tengah hari dan sepasukan anggota bomba BBP Keningau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat dua mangsa, iaitu lelaki yang cedera parah telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan tumpahan minyak petrol dan diesel di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sharudy berkata, pasukan Bomba kemudian bertindak menutup laluan bagi tujuan pembersihan.
“Pasukan Bomba menutup laluan dengan memasang sawar-sawar dan menjalankan pembersihan dengan menggunakan pasir dan satu aliran 100 kaki semburan buih dari tangki jentera,” katanya.