RANAU: Seorang remaja dipercayai menikam mati adiknya berusia 9 tahun di kediaman mereka di Kampung Kinapulidan, Ranau pada Khamis lalu.
Dalam kejadian, suspek berusia 19 tahun menikam adiknya menggunakan pisau pada jam 5.40 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira enam jam kemudian di Hospital Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh jirannya sejurus selepas kejadian.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 11.10 pagi semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Ranau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Simiun berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lagi abang mangsa yang memaklumkan adiknya ditikam di bahagian perut semasa berada di ruang tamu rumah mereka.
“Polis masih menyiasat motif kejadian selain tidak mengenepikan kemungkinan suspek mengalami masalah mental,” katanya lagi.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambah Simiun, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan.
Sumber: The Star