PITAS: Sebuah rumah bersama dua kenderaan hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Kiambalang, Pitas pada Isnin lalu (7 Ogos).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden kebakaran rumah itu pada jam 9.06 malam.
“Pasukan BBP Kota Marudu kemudian bertindak atas maklumat dengan bergegas ke lokasi kejadian yang berada di jarak 70 kilometer dari balai bomba.
“Laporan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 20×30 kaki terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar 100 peratus, iaitu dua buah kenderaan jenis van Nissan C20 dan Daihatsu Charade,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Katanya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air dari tangki jentera.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi terkawal pada jam 11 malam kemudian operasi ditamatkan pada jam 11.10 malam,” jelasnya.