KUALA LUMPUR: Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail, 65 tahun yang mesra disapa Chef Wan disahkan menghidap kanser limfoma.
Menerusi perkongsian Chef Wan di Instagram (IG) miliknya, Chef Wan memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil kerana kanser yang dihidapinya masih di peringkat awal.
Jelasnya, beliau didiagnos menghidap kanser itu selepas menjalani ujian electrocardiogram (ECG) di sebuah hospital semalam.
“Pada jam 3 petang, doktor memaklumkan mengenai keputusan biopsi saya dan mereka perlu menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap kanser limfoma.
“Saya perlu menjalani imbasan Tomografi Pancaran Postiron (PET) untuk melihat sama ada kanser ini sudah merebak ke organ lain termasuk menentukan ia di tahap berapa,” katanya.
Chef Wan pada masa sama memaklumkan beliau mempunyai peluang kira-kira 70 hingga 80 peratus untuk sembuh dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.
“Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan organ itu.
“Saya juga akan menjalani kemoterapi dan memulakan rawatan serta merta sebanyak 13 kitaran, iaitu bermaksud selama 13 minggu.
“Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi saya sudah bersedia untuk menggayakan rambu palsu seperti Elvis, M Daud Kilau, Samy Velu, Liberace dan ramai lagi,” tulisnya.
Walaupun berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan itu, Chef Wan dilihat kekal positif dan menerima ketentuan itu dengan hati yang terbuka.
“Inilah kehidupan… anda hanya perlu laluinya dengan positif. Anak perempuan dan menantu saya sedih mendengar berita ini, tapi saya kata jangan menangis, saya belum pergi lagi. Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang, InsyaAllah, Allah akan jaga saya.
“Terima kasih atas semua doa dan ucapan. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan,” jelasnya.