KENINGAU: Usaha pasukan bomba menyelamatkan dan membawa keluar ahli geologi dari Indonesia yang cedera akibat disengat lebah di Hutan Simpan Sapulut berjaya selepas menempuh perjalanan selama 5 jam dengan hanya berjalan kaki.
Mangsa yang dikenali sebagai, M Iqbal, 24 tahun bersama empat rakannya berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun berjaya di bawa keluar dari hutan itu dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook pada 1.30 tengah hari, hari ini.
Ketua BBP Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, lokasi kejadian adalah terletak sejauh 180 kilometer dari balai bomba.
“Mangsa dijumpai kira-kira jam 10.30 pagi di tiga kilometer dari simpang masuk hutan simpan Sapulut Sungai Ulu Pinangah dalam misi mencari dan menyelemat (SAR) pada hari ketiga selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada Isnin lalu.
“Mangsa ditemui berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Nabawan bagi menerima rawatan susulan,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.50 tengah hari setelah memastikan tiada lagi bahaya lain terlibat.
Selasa lalu, dilaporkan mangsa cedera dipercayai disengat lebah mengalami sesak nafas dan sukar untuk meneruskan perjalanan keluar dari hutan berkenaan.
Kumpulan ahli geologi itu turut mengalami kesukaran untuk berhubung kerana tiada talian telefon di lokasi dan terpaksa menggunakan radio satelit untuk menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.
Dipercayai mangsa bersama empat rakannya merupakan ahli geologi yang masuk ke dalam hutan itu untuk menjalankan kajian arang batu.