KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan pencapaian para pelajar universiti itu melalui pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA) kali ke-24.
MAHEPA ke-24 menyaksikan 20 anugerah dipertandingkan yang terbahagi 13 anugerah individu dan tujuh anugerah berkumpulan meliputi aspek kepimpinan, kemasyarakatan, sosial, riadah, keusahawanan, inovasi dan kreativiti, kesukarelawan, seni budaya serta pengucapan awam.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penganjuran majlis anugerah untuk para pelajar adalah penting bagi menanam pemikiran bahawa setiap pencapaian yang baik oleh warga universiti wajar diraikan.
“Kehidupan di universiti adalah satu fasa kritikal. Ia tempoh yang mesti dimanfaatkan dengan sebaiknya. Bukan sahaja dalam konteks akademik, tetapi dari semua dimensi lain yang menyentuh kedewasaan dan kematangan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan ruang dan peluang agar generasi muda menjadi matang dan dewasa seiring dengan pembinaan kapasiti intelektual dan kembara ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MAHEPA ke-24 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, baru-baru ini.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha untuk memperkasa mahasiswa dalam perlbagai cara, antaranya melalui proses meminda AUKU, membangun ekosistem pro mahasiswa serta program Semarak Siswa Madani.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata pandangan mahasiswa amat penting dan perlu dimajukan melalui pelbagai saluran terutama wacana ilmiah.
“Pemimpin mahasiswa yang peka dengan perkembangan semasa di dalam dan luar negara perlu mengambil inisiatif untuk menjana idea dan menasihati pihak berwajib tentang isu kemasyarakatan dan pembangunan serta hala tuju negara.
“Ini memperlihatkan kematangan pemimpin mahasiswa dalam berdepan cabaran semasa. MAHEPA sekali lagi adalah platform yang tepat bagi mengiktiraf sumbangan mahasiswa yang aktif dalam pelbagai bidang yang menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.
Pada majlis tersebut, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Mohamad Eizlan Dahalan dan Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Nur Aishah Rofina Aling masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UMS.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany bin Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Mohd. Raffie Janau.