KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata usaha agresif oleh Exco Pendidikan Sabah melalui Jabatan Pendidikan Negeri perlu ditingkatkan dalam usaha menyelesaikan masalah dan isu berkaitan sekolah daif.
“Saya mencadangkan agar ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pemantau Sekolah Daif, yang mana ia melibatkan usahasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Tujuan ini tidak lain tidak bukan adalah bagi membincangkan serta mencari penyelesaian tuntas kepada isu sekolah daif yang hingga kini masih belum berkesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan perbahasan semasa Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurut Amisah, masih banyak sekolah usang dan daif di negeri Sabah dan hal tersebut dilihat mampu mempengaruhi prestasi dan pencapaian murid.”Isu sekolah daif dekat di hati kita kerana di negeri kita masih banyak sekolah daif.
“Kita sedar dengan pendidikan sahaja segala masalah dan kemiskinan hidup dapat diatasi serta diperbaiki.
“Murid mampu belajar dengan baik dan mendapat prestasi cemerlang andai segala keperluan asas di sekolah dapat disediakan, sekurang-kurangnya…, dan adalah benar jika saya katakan, merekalah yang akan mengubah nasib keluarga dan mengharumkan nama negeri serta negara kelak,” katanya lagi.
Jelas Amisah lagi, Ranau setakat ini mempunyai jumlah sekolah usang tertinggi di Sabah.
“Di Ranau ada 44 buah, Pensiangan 34, Beaufort 29, Keningau 21, Tuaran 18, Kudat 17, Silam 15, Libaran dan Sepanggar masing-masing 14, diikuti Beluran 13, Kota Belud 12, Kinabatangan 10, Papar lapan, Sipitang tujuh dan Tenom enam sekolah usang.
“Jumlah ini bukan sedikit dan kita perlu segera ambil tindakan untuk menyelesaikan isu dan keperluan sekolah usang dan daif di seluruh negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amisah juga memberitahu bahawa tindakan drastik perlu diambil oleh pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkenaan kelakuan sumbang dan salah laku seks terhadap kanak-kanak.
“Setakat hari ni, yang dilaporkan dan dicatat dalam rekod, kita sudah mempunyai 22 kes jenayah seks terhadap kanak-kanak, sedangkan kita belum sampai separuh tempoh tahun 2023, dan jumlah ini adalah separuh dari jumlah keseluruhan tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 17 adalah kes rogol dan selebihnya adalah dalam bentuk gangguan seks yang lain,” katanya.