KOTA KINABALU: Pimpinan baharu Kontinjen Polis Sabah akan meneruskan dasar dan perancangan yang dibawa pucuk pimpinan lama khususnya dari segi pembangunan infrastruktur dan pembangunan sumber manusia.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semua itu dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti, prestasi dan kecekapan perkhidmatan Polis Sabah dalam memenuhi aspirasi semasa.
Justeru itu, beliau berkata, ia akan mengambil peluang melalui peruntukan khas kerajaan persekutuan yang bernilai RM80 juta untuk menaiktaraf pertahanan sempadan negeri Sabah dengan negara Indonesia.
“Melalui peruntukan itu saya akan memastikan pembangunan dan menambah baik pertahanan sempadan antara negeri Sabah dengan Indonesia.
“Dan jika diizinkan Tuhan, sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mendapat 20 peratus daripada peruntukan ini maka kita dapat merialisasikannya dengan membina bangunan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nabawan dan jg IPD Kalabakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau yakin dengan kehadiran Jauteh sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Jauteh mampu menjaga keselamatan seterusnya membantu mengembangkan kegiatan ekonomi secara sihat di negeri itu.
“Keselamatan dan ketenteraman dalam negeri ini akan terus terpelihara dan terkawal dengan baik.
“Ini juga bagi memastikan kedatangan pelawat-pelawat ke negeri ini berjalan lancar, selamat dan terus memastikan kegiatan ekonomi berkembang dengan sihat dan pantas,” jelasnya.
Jauteh yang sebelum ini sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara pada Mac lalu.
Manakala tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah kini digalas oleh Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Komisioner Shahurinain Jais.