KOTA KINABALU: Tiga Menteri Barisan Nasional (BN) telah digugurkan daripada Kabinet negeri Sabah.
Ia termasuklah Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (ADUN Lumag).
Manakala, dua lagi Menteri yang digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin.
Ekoran itu, Datuk Ir. Shahelmey Yahya telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya bagi menggantikan kedudukan Bung Moktar yang sudah pun digugurkan.
Manakala, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif pula telah dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menggantikan Yakub Khan.
Datuk Liew Chin Jin @ Christina Liew dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi menggantikan Jafry Ariffin.
Sementara itu, Datuk James Ratib menggantikan Shahelmey sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan kesejahteraan Rakyat.
Phoong Jin Zhe pula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang baharu.
Pada masa sama, portfolio bagi Timbalan Ketua Menteri I dan II kini dipegang oleh Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Joachim Gunsalam.
Menteri yang kekal memegang portfolio sedia ada ialah, Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar) dan Datuk Ellron Angin (Menteri Belia dan Sukan).
Manakala Datuk Seri Masidi Manjun pula kini memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan yang mana sebelum ini beliau adalah Menteri Kewangan II.