KOTA KINABALU: Tindakan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan kerajaan negeri Sabah melalui pengumpulan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menubuhkan kerajaan baharu disifatkan sebagai usaha meruntuhkan demokrasi secara tidak langsung.
Menurut Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, meskipun tiada perkara di dalam perlembagaan yang menghalang kegiatan tersebut, namun tindakan sedemikian membawa konotasi yang negatif pada hemat rakyat khususnya golongan belia.
“Salah satu faktor keruntuhan demokrasi ialah apabila norma demokrasi yang dijunjung rakyat seperti pemilihan parti pemerintah melalui proses pilihan raya tidak lagi dihormati para ahli politik.
“Meskipun tiada klausa di dalam perlembagaan yang menghalang tindakan seperti mengumpul akuan bersumpah daripada ADUN untuk membentuk kerajaan, namun secara moralnya ia tidak diterima oleh orang awam terutamanya golongan belia di negeri ini”, kata Abqaree dalam satu kenyataan pada Jumaat bagi mengulas spekulasi politik yang sedang berlegar di Sabah.
Tambahnya lagi, perkara itu bukan sahaja akan melembabkan ekonomi negeri, malah turut menjauhkan anak muda daripada pentas demokrasi kerana merasa mandat yang diberi pada pilihan raya yang lalu dipermainkan sewenang-wenangnya demi kepentingan peribadi ahli politik tertentu.
“Ketakutan pelabur, dan pembentangan semula belanjawan sekiranya kerajaan bertukar. Dua perkara ini akan melembabkan ekonomi dan memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Saya risau akan persepsi golongan muda terhadap sistem demokrasi di negeri ini yang seolah-olah dimanipulasi demi kepentingan politik pihak tertentu. Ini akan menjauhkan anak muda daripada terlibat dalam politik pada masa hadapan kerana merasa mandat yang diberikan kepada kerajaan pada pilihan raya lalu tidak dihormati.
“Situasi sebegini amat memuakkan mereka”, tegas Abqaree.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pengamal politik di negeri itu bermuhasabah dan kembali kepada tujuan asal demokrasi iaitu untuk membina masyarakat maju dari segi aspek ekonomi, pendidikan, dan taraf hidup sesuai dengan norma demokrasi sedia ada.
“Bermuhasabahlah. Mungkin pada mereka (ahli politik) ini suatu permainan. Bagi rakyat ini melibatkan kelangsungan hidup dan masa depan mereka. Sebahagian besar mereka menantikan polisi dan bantuan segera kerajaan untuk bangkit dari bencana ekonomi. Kembalilah kepada tujuan asal demokrasi, demi rakyat miskin di kawasan anda sendiri”, tambah Abqaree.