PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk memberi keutamaan kepada kepentingan dan kesihatan rakyat ketimbang hal-hal yang melibatkan pelancongan dan ekonomi.
Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan mana-mana pelancong dari mana-mana negara tidak dilonggarkan dama sekali terutamanya dari negara yang berisiko tinggi.
“Jemaah Menteri memutuskan tanpa ragu bahawa masalah kesihatan rakyat itu adalah hal yang utama, soal pelancongan atau pertemuan ekonomi itu tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat dari segi wabak dan juga jangkitan termasuk Covid-19.
“Itu saya jelaskan kerana banyak keraguan berbangkit seolah-olah oleh kerana pelancongan, tidak. Kita ambil keputusan sangat tegas hari ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Tambah Anwar, semua tindakan yang perlu dilakukan oleh Pusat Imigresen, iaitu kemasukan rakyat asing akan dikawal dengan lebih ketat lagi dan tidak hanya menjurus kepada mana-mana negara.
“Terutama negara yang jumlah jangkitan itu agak lebih ramai termasuk Amerika Syarikat, China itu dipantau secara telus,” tegasnya.