KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir dan air pasang di Sabah kini meningkat kepada 1,626 berbanding 1, 476 pada semalam.
Menurut Sekreteriat Pengurusan Bencana Negeri Sabah pertambahan jumlah mangsa itu melibatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Sungai Anib 2, Sandakan dan PPS Dewan SMK Pinggan-Pinggan, Pitas.
“Keseluruhan mangsa turut melibatkan 366 Ketua Isi Rumah (KIR) dari empat daerah terjejas, iaitu Pitas, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Sandakan.
“Pemindahan mangsa ini adalah susulan fenomena air pasang yang berlaku di Pitas, Kota Kinabalu dan Sandakan, manakala bencana banjir pula melibatkan daerah Kota Belud.
“Setakat ini, 10 PPS diaktifkan, iaitu 6 di Pitas, 2 di Kota Belud serta masing-masing 1 di Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memperincikan seramai 895 mangsa yang dipindahkan ke PPS adalah golongan dewasa dan warga emas, manakala 731 mangsa pula melibatkan kanak-kanak dan bayi.
Keadaan cuaca kini mendung dan hujan renyai di beberapa tempat termasuk Kota Kinabalu.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutama di kawasan berisiko tinggi.