PAPAR: Calon mewakili Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Parlimen P175 Papar mencadangkan dua bentuk alternatif bagi menyelesaikan isu kesesakan di jalan Lok Kawi Kinarut dan jambatan di Papar.
Calonnya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata beliau telah pun menyediakan kerja asas dan sudah disokong oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, kedua-dua alternatif itu akan diajukan ke peringkat kerajaan persekutuan.
“Pertama, sama ada menghidupkan kembali 100 peratus projek kerana projek itu merupakan satu keperluan yang mendesak.
“Namun saya risau dengan keadaan ekonomi dan bila sudah sampai lima tahun kosnya akan meningkat berganda-ganda,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi ‘Walkabout’ di Pasar Am Papar, Sabah pada Khamis.
Manakala bagi alternatif kedua pula, Armizan mencadangkan agar projek itu dilaksanakan secara berfasa.
“Kalau tidak dapat hidupkan kembali 100 peratus, kita akan buat fasa demi fasa seperti mana yang dibuat daripada Pekan Papar ke bulatan Benoni.
“Saya telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKR menyetujui bahkan EPU di peringkat persekutuan melihat ini alternatif yang baik maka kita akan mulakan dengan fasa pertama.
“Kita selesaikan dulu ‘bottle neck’ daripada Masjid Puncak Takwa ke Borneo Paradise, 3 kilometer yang dijangka kosnya kurang daripada RM50 juta. Jadi itu alternatif kedua jika mereka tidak dalat memberikan peruntukan sepenuhnya, kita usahakan dulu 3 kilometer ini,” jelasnya.
Terdahulu Armizan berkata bahawa projek itu sepatutnya sudah bermula pada awal tahun 2018 yang pada ketika itu sedang diusahakan oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bekas wakil rakyat Parlimen Papar.
Tambahnya, peruntukan yang hampir mencecah RM600 juta itu sudah pun diluluskan oleh kerajaan persekutuan, namun pada tahun yang sama projeknya telah dibatalkan selepas berlaku perubahan kerajaan di peringkat persekutuan.
Oleh itu, Armizan calon yang mewakili gabungan GRS-BN bersama-sama bekas ahli parlimen Papar, Rosnah akan kembali memperjuangkan beberapa lagi projek mega yang sebelum ini pernah dibatalkan.