KIMANIS: Penyandang kerusi bagi Parlimen P176 Kimanis, optimis dan yakin akan memenangi semula kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyandangnya, Datuk Mohamad Alamin yang juga merupakan calon bagi Barisan Nasional berkata, berdasarkan khidmat bakti yang sudah dilakukan untuk kawasan Kimanis beliau amat yakin akan memenangi kerusi itu.
“Pengundi masyarakat hari ini sangat bijak untuk buat penilaian parti mana yang harus diangkat untuk mewakili mereka di kawasan Kimanis ini.
“Kalau mahu tahu apa yang saya buat, boleh cek rekod dan KPI saya,” katanya ketika ditemui media.
Sebelum itu, Mohamad Alamin ada memaklumkan bahawa banyak projek pembangunan yang sempat beliau bawa dan sangat berimpak seperti projek naik taraf jalan Bukit Manggis-Kimanis-Papar.
“Penantian rakyat sejak puluhan tahun bakal berakhir dan projek ini sudah dan sedang berjalan,” jelasnya.
Beliau juga kini sedang menunggu pelantikan kontraktor bagi projek menaik taraf 3 buah sekolah di Kimanis, iaitu SK Bintulu, SK Kalatuan dan SK Pekan Kimanis.
Tambah Mohamad, jika masih diberi mandat untuk terus memerintah pada PRU15 ini, beliau akan cuba untuk mendapatkan satu loji rawatan air yang baru di Ulu Bongawan yang projeknya bernilai hampir RM40 juta.
Selain mengusahakan loji rawatan air yang baru, beliau juga akan merialisasikan Kimanis untuk dijadikan sebagai daerah penuh pada bila-bila masa.
Manakala pencabarnya pula Yusop Osman, wakil calon dari parti Pejuang akan membawa isu pembangunan ekonomi dan pembangunan insan untuk dikukuhkan semula jika beliau memenangi kerusi itu.
Beliau yang juga berusia 63 tahun dan sedang mengalami masalah gangguan saraf pada bahagian kaki berkata masalah itu tidak akan menganggu perjuangannya.
“Gangguan saraf saya sudah hadapi lebih kurang dua tahun dan ini langsung tidak menganggu perjuangan saya kerana perjuangan saya bukan pada kaki tapi pada hati,” tegasnya.
Bagi Rowindy Lawrence Odong (PH), satu-satunya calon wanita yang bertanding di kerusi itu, beliau akan cuba membawa aspirasi wanita untuk membantu golongan itu untuk belajar menjana ekonomi sendiri.
“Di kawasan ini, aspirasi wanita dari segi membantu mereka untuk menjana pendapatan sendiri adalah yang amat penting kerana para wanita ini sebenarnya ramai yang berpotensi namun kurang pendapat peluang dan perhatian,” jelasnya.
Sabtu lalu Pegawai Pengurus Pilihan raya, Bakri Sudin mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 11 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Al-Ghazali SMKA Kimanis di sini, ditutup pada jam 10 pagi.
“Calon yang sah akan bertanding kerusi di Parlimen P.176 Kimanis adalah Mohamad Hj Alamin (BN), Dr Daud Yusof (Warisan), Yusop Osman (Pejuang), Rowindy Lawrence Odong (PH) dan Amat Mohd Yusof (KDM),” katanya.
Parlimen Kimanis pada PRU15 kali ini mempunyai 40,763 pengundi berdaftar.