KOTA KINABALU: Teka teki mengeni calon Parlimen P.183 Beluran kini terjawab apabila nama Benedict Asmat dinaikkan untuk bertanding di kerusi itu bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, turut menjadi persoalan apabila penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ronald Kiandee tidak dicalonkan untuk bertanding di parlimen tersebut.
Menurut kenyataan media BN, Benedict merupakan anak jati parlimen Beluran.
“Benedict juga merupakan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan.
Kini beliau bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, kenyataan turut memaklumkan bahawa BN memutuskan untuk menamakan semula calon baharu bagi Parlimen P.191 Kalabakan atas sebab masalah teknikal.
Calon baru bagi parlimen itu akan diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.
Sebelum ini, BN mengumumkan Aslan Fadli Samsul Alang sebagai calon yang bertanding di parlimen itu.