KOTA KINABALU: Jumlah mangsa meningkat kepada 724 orang yang membabitkan lima daerah terjejas akibat bencana banjir yang berlaku hari ini.
Menurut laporan kemas kini dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut meningkat kepada sembilan dengan penambahan PPS di daerah Kunak, Sipitang dan Tenom.
Daerah Tenom hari ini merekodkan mangsa paling ramai, iaitu seramai 298 individu yang melibatkan 80 Ketua Isi Rumah (KIR) yang ditempatkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Rumah Kebudayaan Makakagas dan Rumah Gunting.
Manakala, di Keningau sebanyak 296 mangsa daripada 87 keluarga dipindahkan melibatkan PPS Dewan Gereja Kampung Senangang (199 mangsa, 40 keluarga) dan PPS Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (97 mangsa, 47 keluarga).
Di Sipitang, seramai 55 mangsa banjir membabitkan 20 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol (47 mangsa, 18 keluarga) dan PPS Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Chung Hwa Mesapol (lapan mangsa, dua keluarga).
Menurut kenyataan itu juga, PPS Dewan Kampung Airport Tun Fuad di Kunak yang dibuka pada Isnin lalu masih menempatkan 66 mangsa daripada 13 keluarga manakala PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang yang dibuka awal pagi Selasa turut mengekalkan penempatan sembilan mangsa daripada satu keluarga.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran dalam laman sesawangnya memaklumkan Sungai Pegalan di Ansip, Keningau yang melebihi tahap bahaya pada pagi Selasa menurun ke paras normal petang tadi, manakala Sungai Padas di Tenom meningkat ke tahap amaran pada 176.91 meter berbanding 157.57 meter pagi tadi.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan turut memaklumkan Jalan Amboi 1 di Tenom ditutup dan tidak selamat untuk dilalui orang ramai ekoran kerosakan jalan akibat banjir kilat.
“Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Tenom-Kuala Tomani,” menurut JKR.
Jalan Beaufort di Menumbok tidak boleh dilalui kenderaan kecil pada petang Selasa berikutan banjir akibat limpahan air Sungai Padas, justeru penduduk dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di Jalan Limbawang Bypass.