KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi kepada mahasiswa yang sedang menuntut di luar daripada Sabah untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu nanti akan diperhalusi oleh pihak kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Hajiji juga menekankan agar para mahasiswa memainkan peranan mereka sebagai pengundi pada PRU-15 bagi membantu kestabilan politik negara.
“Kita tengok dulu, ini ada cadangan daripada beberapa pihak terutama mahasiswa atau rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung yang mungkin mahu pulang mengundi.
“Jadi, perkara ini mungkin nanti kita akan perhalusi, setakat ini belum ada apa-apa yang kita dapat umumkan.
“Tapi kita mahu juga mereka laksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat dan juga sebagai pengundi pada PRU akan datang ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sekreteriat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di Kota Kinabalu pada Isnin.
Sementara itu, ketika diminta memberi ulasan terhadap tindakan meletak jawatan dan keluar parti oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Hajiji berkata seperti yang dapat dibacanya itulah yang berlaku, demokrasi.
Manakala bagi Parti Bersatu di Sabah jelas Hajiji, semuanya berada dalam keadaan yang baik serta kekuatan parti itu masih kukuh.
Terdahulu, bekas Naib Presiden Bersatu itu mengumumkan keluar parti sekali gus melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.
Tambah Rafiq, peletakan jawatan itu susulan beliau tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU-15, meskipun sudah dijanjikan oleh pucuk pimpinan sebelum ini.