KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menggunakan statistik hasil penemuan Banci Malaysia 2020 sehingga ke peringkat daerah untuk mentadbir urus negeri dengan lebih cekap dan efisien.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri ke arah mencapai pengagihan ekonomi yang adil, saksama, dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan di Sabah.
Hajiji berkata, sejajar dengan hala tuju SMJ, statistik yang telah dikeluarkan dalam Penerbitan Utama Banci Malaysia 2020 di peringkat negeri dan daerah pentabiran boleh digunakan sebagai rujukan dan input yang kritikal bagi mengukur pelaksanaan program pembangunan sosio ekonomi.
“Statistik ini amat penting sebagai maklumat yang signifikan kepada Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan, pelaksanaan keputusan dan penyelidikan di peringkat negeri, daerah pentadbiran, parlimen dan DUN.
“Data ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan input terbaik dalam menjayakan agenda pembangunan yang digariskan dalam hala tuju SMJ pada masa akan datang”, tegasnya.
Hasil dapatan Banci Malaysia 2020 yang telah dilancarkan pada 29 Mei 2022, berjaya mengumpul sebanyak 600 Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri.
Jelas beliau, hasil tersebut boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan sosio ekonomi dan strategi bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasan masing- masing.
Menyentuh Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah, Hajiji berkata, program itu merupakan pertama kali dianjurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di peringkat negeri.
Penemuan itu berfungsi untuk meningkatkan kesedaran berkaitan penemuan dan statistik yang telah diterbitkan hasil daripada pelaksanaan Banci Malaysia 2020.
Beliau berharap DOSM yang telah berjaya mengeluarkan data yang reliable akan terus mengeluarkan data yang memenuhi aspirasi dan kehendak pemegang taruh serta keperluan pelbagai peringkat yang diterjemahkan melalui peningkatan ketersediaan data sosial dan ekonomi.