KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu laporan berhubung bantahan terhadap projek perlombongan pasir silika di Kudat sebelum mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya menerusi media sosial.
“Saya belum dapat laporan mengenai bantahan itu tetapi nanti kita akan teliti ketidakpuasan hati mereka,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai bantahan terhadap aktiviti perlombongan pasir silika di Kudat yang dibimbangi merosakkan alam sekitar di kawasan yang terbabit.
Hajiji menjelaskan, tanah yang dijadikan kawasan mengambil pasir silika itu adalah tanah persendirian yang sudah dijual kepada pengusaha atau pelombong yang terbabit.
“Kita tidak tahu macam mana, tapi nanti saya akan minta laporan daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur atau Pegawai Daerah Kudat. Kita akan lihat macam mana boleh menyelesaikannya,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan masuk campur dan mungkin menghentikan projek itu, Hajiji menjelaskan beliau perlu melihat terlebih dahulu laporan secara terperinci mengenai perkara itu.
“Kita lihat dulu, saya belum dapat laporan terperinci, cuma hanya dapat tahu dari media sosial tapi laporan rasmi belum sampai kepada saya. Itu kedudukan setakat ini.
“Kita akan lihat dan ambil tindakan yang berpatutan yang boleh kita lakukan,” katanya.