KOTA KINABALU, 31 Julai – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengumumkan penutupan serta-merta sebuah jambatan di KM 2.850 Jalan Tun Fuad Stephen bermula jam 12 tengah hari hari ini selepas pemeriksaan mendapati berlaku kerosakan struktur yang serius pada lantai konkrit jambatan berkenaan.
JKR Sabah dalam satu notis awam memaklumkan, tindakan penutupan segera itu dibuat bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya susulan kerosakan yang dikenal pasti pada struktur jambatan.
Menurut kenyataan itu, penutupan berkenaan hanya melibatkan laluan dari Bandaraya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas, manakala laluan dari arah bertentangan masih dibuka seperti biasa.
JKR Sabah berkata, laluan tersebut akan dibuka semula selepas kerja-kerja pembinaan lencongan sementara selesai dilaksanakan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi orang ramai berikutan pelaksanaan penutupan tersebut.
Pengarah Kerja Raya Sabah berkata, langkah berkenaan adalah perlu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
