PENAMPANG: Polis Daerah Penampang telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial dan berlaku di kawasan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sepanjang sambutan Pesta Kaamatan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, beberapa individu telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu dan tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu. Pergaduhan yang berlaku tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti semua individu yang terlibat selain mengesan saksi-saksi yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, rakaman video yang tular di media sosial turut sedang diteliti bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut yang akan diambil selepas proses siasatan selesai.
“Setakat kenyataan media ini dikeluarkan, beberapa individu telah diambil keterangan untuk membantu siasatan. Polis juga sedang mengenal pasti semua individu yang terlibat serta mengesan saksi-saksi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, DSP Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan semua pihak yang terlibat dikenal pasti sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
