PENAMPANG: Seorang remaja perempuan warga asing berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam tandas sebuah rumah di Kampung Tuntuluk, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan pada bahagian leher.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk menerima rawatan lanjut dan kini masih dirawat.
“Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki berumur lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-8032849.
Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
