KOTA KINABALU: Sabah mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga serantau apabila cadangan pembangunan hav tenaga bersepadu di Sipitang oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dimeterai menerusi beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dan komersial antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd. (SOGDC) dan rakan industri antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan pertukaran MoU tersebut ketika menerima kunjungan hormat delegasi SOGDC bersama rakan strategiknya di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Isnin.
Delegasi SOGDC diketuai Pengerusinya, Datuk Ir Shahelmey yahya bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli serta ahli lembaga pengarah, manakala rakan strategik antarabangsa termasuk wakil ACWA Power, Aboitiz Power Ltd WEC dan EA Gibson turut hadir.
Cadangan pembangunan itu melibatkan pembinaan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan seluas kira-kira 275 ekar, merangkumi kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), amonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Sebagai komponen utama, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW), manakala Aboitiz Power Ltd meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga dan WEC mempertimbangkan pembinaan jeti serta tangki simpanan.
Selain itu, syarikat tenaga global Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik serta pembekal utama LNG.
Hajiji berkata, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.
“Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas, selain meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri serta menyokong pertumbuhan industri jangka panjang khususnya di kawasan SOGIP.
