KOTA KINABALU: Ekonomi Biru dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan baharu Sabah dengan potensi menjana sehingga RM3.25 bilion setahun, sekali gus memperkukuh transformasi ekonomi negeri ke arah sektor bernilai tambah tinggi, inklusif dan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendekatan itu berasaskan kelebihan maritim dan kekayaan biodiversiti Sabah, meliputi sektor strategik seperti perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Pendekatan ini selari dengan teras Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Beliau berkata, sektor perikanan dan akuakultur terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan sumbangan RM9.18 bilion kepada KDNK negara sehingga suku ketiga 2025, selain pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai RM6.05 bilion.
Mengulas prestasi negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah apabila kutipan hasil negeri hampir mencecah RM7 bilion, manakala KDNK meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020.
Menurutnya, kejayaan itu memberi keyakinan kepada pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu, selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara penting dalam memperkasa ekonomi Bumiputera di Sabah melalui program seperti TERAJU Aspirasi Outreach.
“Platform ini bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan serta memastikan manfaat pembangunan sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut menyeru usahawan Bumiputera di Sabah agar merebut peluang dalam sektor Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar untuk diterokai secara strategik.
