KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM32.31 juta tahun ini bagi memperkukuh agenda pendigitalan Sabah sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi inklusif serta meningkatkan daya saing negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, termasuk memperluas capaian digital, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM9.59 juta diperuntukkan untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Ia merangkumi pembekalan komputer serta rangkaian ICT kepada agensi kerajaan negeri, pengurusan pusat data, peningkatan keselamatan siber dan pembangunan sistem aplikasi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, pendigitalan terus menjadi teras utama dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), yang memberi fokus kepada peluasan capaian digital, pengukuhan keupayaan teknologi serta pembangunan ekonomi digital inklusif.
“Kesalinghubungan digital kini menjadi tunjang utama dalam menyokong komunikasi, memacu inovasi serta membuka ruang pertumbuhan merentasi pelbagai sektor,” katanya.
Beliau menegaskan, pengukuhan infrastruktur digital merupakan faktor kritikal dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Katanya, SMJ 2.0 dirangka sebagai pelan strategik untuk melonjakkan produktiviti, daya saing serta nilai ekonomi negeri secara mampan, selain berdepan cabaran global yang semakin kompleks termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemain industri seperti Celcom Timur Sabah amat penting bagi merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital negeri.
Menurutnya, syarikat itu kini telah membangunkan hampir 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus menjadi tulang belakang kepada hubungan antara daerah serta menyokong keperluan industri.
“Rangkaian ini membolehkan perkhidmatan digital dinikmati secara lebih meluas, termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan.
“Peranan ini menjadikan Celcom Timur Sabah bukan sekadar penyedia infrastruktur, tetapi juga pemudah cara kepada pembangunan digital inklusif serta antara pemacu utama daya saing negeri dalam era digital,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan syarikat itu turut terserlah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif nasional seperti JENDELA, Point of Presence (POP2) dan rangkaian 5G, dengan Celcom Timur Sabah bertindak sebagai penyedia utama rangkaian gentian optik di negeri ini.
