TAWAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu serta menunggang motosikal curi dalam satu rondaan cegah jenayah di Lorong Muhibah BAL, Jalan Kuhara, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 pagi oleh sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau.
Menurutnya, suspek cuba melarikan diri ketika anggota polis mahu menjalankan pemeriksaan, namun berjaya diberkas selepas tindakan kekerasan minimum digunakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun pemeriksaan lanjut terhadap beg silang yang dipakai suspek menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam yang ditunggang suspek mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Hasil semakan mendapati motosikal tersebut telah dilaporkan hilang pada 4 April lalu di daerah ini,” katanya.
Tambahnya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.
