KOTA KINABALU: Isu penyalahgunaan nama dan logo Universiti Malaysia Sabah (UMS) di platform media sosial kini ditangani secara bersepadu melalui pelbagai tindakan susulan bagi memastikan ia dikawal dengan segera dan berkesan.
Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pihak universiti telah melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kandungan serta akaun berkaitan, selain mengambil tindakan susulan melalui saluran bersesuaian termasuk aspek perundangan.
Menurut beliau, UMS turut memperkukuh saluran komunikasi rasmi universiti sebagai rujukan utama bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat, sahih dan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Identiti universiti merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sebarang perkara berkaitan hal ehwal pelajar termasuk penyampaian kenyataan yang mewakili universiti perlu disalurkan melalui saluran rasmi dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan penyampaian lebih tersusun, tepat serta berkesan.
Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh warga UMS agar terus mengamalkan komunikasi berhemah, berfakta dan saling menghormati, selaras dengan nilai universiti sebagai Brain of Borneo.
UMS, katanya, akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus yang inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.
