KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima kunjungan hormat Panglima Divisyen Kelima Infantri yang baharu, Mejar Jeneral Shamsor Jaafar, di Menara Kinabalu, hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu keselamatan semasa serta perkara berkaitan operasi dan peranan Divisyen Kelima Infantri yang berpangkalan di Kem Lok Kawi.
Shamsor yang dilantik menerajui divisyen berkenaan turut bertukar pandangan dengan Ketua Menteri mengenai kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan pihak Angkatan Tentera Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kestabilan Sabah terus terpelihara.
Beliau mengambil alih tugas daripada Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin pada 30 Januari lalu.
Turut mengiringi Shamsor dalam kunjungan tersebut ialah Pegawai Staf, Leftenan Kolonel Ahmad Zurairi Muda dan Kapten Ameer Ashraf Masudi.
