Screenshot
KOTA KINABALU: Suspek utama kes bunuh dan kerat seorang wanita yang anggota badannya ditemukan di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai di sini akan dituduh di mahkamah esok.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tempoh reman terhadap suspek telah tamat dan pertuduhan akan dibuat dalam minggu ini.
“Tempoh reman sudah tamat. Dalam minggu ini, suspek akan dituduh (esok),” katanya ketika memetik laporan Sinar Harian pada Khamis.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, mayat seorang wanita berusia 44 tahun yang dikerat kepada beberapa bahagian ditemukan oleh pekerja lori sampah kira-kira jam 7 pagi ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan Taman Indah Permai.
Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 71 tahun yang dipercayai tunang mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
Tiga lagi individu yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang merupakan anak kepada suspek utama turut ditahan untuk membantu siasatan polis.
Setakat ini, dua lagi anggota badan mangsa, iaitu bahagian kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemukan.
Kes tersebut sebelum ini mendapat perhatian meluas susulan kekejaman jenayah berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan pihak polis.
