KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi, selain merampas dadah disyaki jenis syabu dan satu objek menyerupai senjata api dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di sekitar Jalan Maktab Gaya, Luyang, awal pagi 7 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, tangkapan dibuat selepas anggota polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati kedua-dua suspek sedang menjalankan aktiviti memotong kabel telekomunikasi sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.
“Suspek melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux dan enggan berhenti walaupun arahan diberikan. Mereka memandu secara agresif serta berbahaya sehingga membahayakan keselamatan anggota polis dan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata, pengejaran polis berakhir di kawasan Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan suspek terbabas akibat kerosakan pada tayar belakang. Kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan singkat.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan membawa kepada rampasan beberapa batang kabel telekomunikasi, peralatan memotong kabel, satu objek menyerupai senjata api serta dadah disyaki jenis syabu seberat 0.44 gram.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Polis memandang serius jenayah curi kabel kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah menjejaskan perkhidmatan awam serta keselamatan masyarakat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ACP Kasim turut menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.
