KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa rakyat merupakan rakan strategik utama Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah secara mampan dan inklusif.
Beliau berkata, aspirasi utamanya sebagai Ketua Menteri adalah untuk melakar laluan pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memacu kemajuan negeri secara berterusan.
“Justeru, sokongan padu dan berterusan daripada rakyat amat penting demi memastikan kesinambungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, pada Ahad.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Dalam ucapannya, Hajiji turut memuji Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) atas kejayaan menganjurkan festival berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Menurutnya, penganjuran acara itu secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikannya sambutan kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh masyarakat Cina, malah oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sabah.
Katanya, festival kebudayaan sedemikian berperanan sebagai platform penting dalam memupuk toleransi, saling menghormati serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Sambutan perayaan dan kebudayaan pelbagai etnik dan agama merupakan identiti unik Sabah yang menjadi asas kepada keharmonian serta perpaduan sedia ada di negeri ini,” katanya.
Mengulas mengenai Zodiak Cina, Hajiji berkata tahun 2026 yang dikenali sebagai Tahun Kuda Api dikaitkan dengan perubahan, inovasi dan keberanian, sekali gus membuka peluang besar kepada pembangunan negeri.
“Semangat dan tenaga Tahun Kuda ini perlu dimanfaatkan untuk bersama-sama membawa lebih banyak pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri akan terus melangkah ke hadapan dengan meneruskan agenda pembangunan, memulihkan ekonomi serta mencari peluang terbaik untuk negeri dan rakyat,” katanya.
