KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Mahir dan Operasi Kutip yang dijalankan di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu itu melibatkan seramai 35 pegawai imigresen.
“Sepanjang operasi, seramai 134 individu diperiksa membabitkan warganegara Malaysia, Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 18 warga asing disyaki melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan untuk siasatan lanjut. Daripada jumlah itu, 17 adalah warganegara Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, manakala seorang lagi ialah lelaki dewasa warganegara Pakistan,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
JIM Negeri Sabah sekali lagi menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
