PITAS: Seorang warga emas lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Pondoi sejak pagi Jumaat ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh beberapa agensi keselamatan.
Mangsa disedari tidak berada di rumah dan gagal dikesan, sebelum waris bertindak mendapatkan bantuan serta membuat laporan polis bagi memohon operasi pencarian segera.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pitas memaklumkan, pasukan operasi melibatkan anggota Skuad Delta dan ESSZONE digerakkan bagi menyertai operasi SAR bersama pihak bomba.
Operasi pencarian dilakukan menggunakan kaedah ‘surface search’ di kawasan hutan serta anak sungai dengan radius sejauh satu kilometer dari kediaman mangsa.
Pada kira-kira jam 10.50 pagi, Komander Operasi melaporkan mangsa ditemukan oleh pasukan APM dan bomba di sebuah anak sungai, kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi SAR ditamatkan selepas memastikan tiada risiko lain di lokasi kejadian.
