LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 50 tahun maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Toyota Fortuner dan Perodua Axia di Jalan Silam, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Silam, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi pada jam 2.52 petang, selepas menempuh jarak kira-kira 24 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Mohamud Punya melaporkan, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu menyebabkan seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Fortuner sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang tersepit dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS JBPM. Selain itu, tiga mangsa wanita dan seorang lelaki berusia antara 25 hingga 39 tahun mengalami cedera ringan dan turut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, maklumat terperinci mangsa dari kenderaan Perodua Axia tidak diperoleh setakat ini.
Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota JBPM dengan bantuan sebuah jentera FRT dan EMRS serta sokongan PDRM dan KKM.
Operasi berjaya dikawal pada jam 3.20 petang dan ditamatkan pada jam 3.29 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
