PUTRAJAYA, 26 Dis — Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM2.2 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah telah meneliti hujahan mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan, termasuk kepentingan awam serta elemen pencegahan, sebelum menjatuhkan hukuman.
Bagi setiap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda minimum statutori lima kali ganda nilai suapan, berjumlah keseluruhan RM11,387,888,067.05. Hukuman penjara bagi keempat-empat pertuduhan itu diperintahkan berjalan serentak.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, mahkamah turut mengenakan hukuman penjara tambahan selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Mahkamah selanjutnya memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berturutan dan hanya bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara sedia ada dalam kes SRC International Sdn Bhd melibatkan penyelewengan RM42 juta. Dengan itu, tertuduh hanya akan mula menjalani hukuman penjara 15 tahun tersebut seawal Ogos 2028 atau Ogos 2029, bergantung kepada sama ada beliau membayar denda RM50 juta dalam kes SRC.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan, yang diperintahkan berjalan serentak, tanpa sebarang denda tambahan dikenakan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar jumlah boleh lucut hak sebanyak RM2,081,476,926 mengikut Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA). Sekiranya gagal berbuat demikian, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tambahan selama dua tahun enam bulan bagi setiap sembilan pertuduhan berkaitan.
Prosiding menjatuhkan hukuman yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu berakhir hampir 12 jam kemudian, selepas mahkamah mengambil kira-kira empat jam setengah untuk membacakan dapatan keputusannya secara terperinci.
Mahkamah memaklumkan bahawa keputusan berkenaan masih boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan. Peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Tertuduh kelihatan tenang namun sugul ketika hukuman dibacakan, dengan beberapa ahli keluarganya hadir di mahkamah.
Najib menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan menggunakan peranannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk memperoleh manfaat kewangan berjumlah RM2.22 bilion melalui empat fasa skim 1MDB. Jumlah berkenaan merangkumi RM60,629,839.43; RM90,899,927.28; RM2,081,476,926; dan RM44,570,920.70.
Baki 21 pertuduhan pula melibatkan pengubahan wang haram melalui akaun peribadi AmIslamic Bank milik tertuduh (Akaun 9694), termasuk penerimaan AS$681 juta (RM2.08 bilion) dana anak syarikat 1MDB, pengeluaran cek bagi tujuan politik dan perkhidmatan, pemindahan semula dana ke Tanore Finance Corporation, serta pemindahan wang ke akaun peribadi baharu beliau pada tahun 2013.
