TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas disyaki mencabul seorang pekerja wanita di sebuah kedai runcit di Kampung Andrassy, di sini, pada 16 November lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berusia 20 tahun sedang bertugas di kaunter pembayaran.
“Suspek dipercayai datang ke kaunter sebelum tiba-tiba menyentuh bahagian badan mangsa. Mangsa yang terkejut segera menepis tangan suspek sebelum membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak menahan suspek di hadapan sebuah kedai tayar di Jalan Apas kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.
“Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sehelai baju berwarna hitam dan sebuah beg berjenama yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
ACP Jasmin turut berkata, suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Pemeriksaan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai satu rekod terdahulu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya wanita yang bekerja berseorangan, supaya lebih berwaspada dan segera membuat laporan jika menjadi mangsa atau menyaksikan sebarang kejadian jenayah.
