TUARAN: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin bahawa gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH) akan berjaya memperoleh mandat yang kukuh untuk membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.
Keyakinan itu disuarakan Hajiji ketika ditemui selepas memfailkan borang pencalonannya di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Sabtu.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta penyandang kerusi DUN Sulaman tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 9 pagi bersama kepimpinan GRS dan ribuan penyokong.
Pada penamaan calon kali ini, Hajiji berdepan saingan lima penjuru di Sulaman.
Turut menyerahkan borang pencalonan masing-masing ialah penyandang DUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya yang berdepan tujuh penjuru; penyandang DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang berentap dalam lapan penjuru; serta calon baharu GRS bagi DUN Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface yang terlibat dalam persaingan 13 penjuru, antara yang paling sengit dalam PRU-17.
Mengulas situasi berkenaan, Hajiji tetap optimis bahawa GRS mampu meraih kemenangan besar, khususnya di kawasan Sulaman.
Katanya, demokrasi memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding, namun keyakinannya terhadap kekuatan jentera dan sokongan rakyat kekal tinggi.
Dalam sidang media sama, Hajiji turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ahli Gagasan Rakyat atau GRS yang bertanding sebagai calon Bebas.
Jelasnya, penyertaan calon dari parti lain boleh diterima sebagai sebahagian daripada proses demokrasi, namun ahli sendiri yang memilih untuk bertanding di luar parti akan dipecat serta-merta.
