SANDAKAN: Seekor buaya seberat kira-kira 200 kilogram yang dilaporkan cuba mengejar seekor anjing di bawah kolong rumah penduduk berjaya ditangkap oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan dalam satu operasi pantas awal pagi tadi.
Insiden mencemaskan itu berlaku sekitar 1.42 pagi di Kampung Sungai Obar, Batu 7 Sandakan, apabila penduduk yang menyedari kehadiran reptilia berkenaan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) melalui talian kecemasan NG999 selepas melihat buaya tersebut semakin menghampiri kawasan rumah.
Bertindak atas laporan itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman Salama, mengarahkan satu pasukan operasi digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, anggota APM berjaya menjerut serta menutup mata buaya menggunakan tali, penyepit dan selimut keselamatan bagi mengelakkan ia bertindak agresif.
“Operasi berkenaan berjaya ditamatkan sepenuhnya pada 2.53 pagi, menjadikan keseluruhan masa operasi selama 49 minit, tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini.
“Seramai seorang pegawai dan tujuh anggota terlibat dalam operasi berkenaan, menggunakan dua buah Light Rescue Vehicle (LRV) bagi menyokong pelaksanaan tugas di lapangan,” jelas APM Sandakan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
APM dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada di kawasan berhampiran sungai serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak haiwan liar yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk.
