Kota Kinabalu: Seorang guru merangkap Ketua Warden Asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, mengakui beliau adalah individu yang memindahkan tubuh pelajar, Zara Qairina Mahathir, dari longkang asrama ke kawasan simen terlindung selepas ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu.
Azhari yang juga saksi kelapan, dalam keterangannya kepada Mahkamah Koroner hari ini berkata, beliau menerima panggilan daripada pengawal keselamatan sekitar jam 3.04 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Setibanya di situ, beliau melihat Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas seperti tidur berdengkur.
Beliau bersama beberapa pelajar lain kemudian mengangkat Zara ke kawasan rata berdekatan.
Azhari turut menyedari terdapat kesan darah di bucu longkang dan kecederaan pada pergelangan kaki mangsa.
Warden itu seterusnya membuat panggilan kecemasan kepada talian 991 pada jam 3.17 pagi dan sekali lagi pada jam 3.47 pagi.
Zara kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth dengan ambulans sebelum jam 4 pagi.
Azhari juga membuat laporan polis pada pagi yang sama.
Selain itu, Azhari turut mendedahkan penemuan beberapa diari dan buku milik Zara yang diserahkan secara berperingkat kepada pihak polis antara 16 hingga 19 Julai, selepas dijumpai oleh guru-guru lain di asrama dan kelas.
Beliau menegaskan sepanjang menjadi guru dan warden, beliau tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Zara mengenai masalah di asrama.
