KOTA KINABALU: Dua peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, menyuarakan kebimbangan serius kerana pihak polis dilapor gagal melakukan dua perkara penting dalam siasatan kematian remaja itu.
Dua perkara itu termasuklah tiada bedah siasat dijalankan sebelum jenazah Zara dikebumikan serta pakaian dan barangan peribadi yang dipakai semasa kejadian belum dirampas atau dianalisis oleh pihak berkuasa.
Menurut kenyataan bersama peguam itu, semua pakaian tersebut telah diserahkan oleh pihak hospital kepada keluarga pada 16 Julai dan kini disimpan oleh seorang wakil NGO yang diberi mandat oleh ibu Zara.
Namun sejak 17 Julai hingga kini, pihak polis tidak pernah membuat permohonan untuk mendapatkan bahan bukti tersebut untuk analisis forensik.
“Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya fokus ke arah kematian mengejut atau bunuh diri,” menurut peguam.
Mereka turut menegaskan bahawa kertas siasatan yang telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah tidak lengkap dan tidak menyeluruh selain fokus sangat terhad.
Tidak adanya bedah siasat sebelum pengebumian menjejaskan kebolehpercayaan hasil siasatan tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, pasukan peguam turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas simpati dan kebimbangan yang ditunjukkan terhadap kes tersebut.
Mereka berharap agar kertas siasatan dikembalikan kepada polis dan segera mengadakan bedah siasat serta inkues bagi menentukan punca sebenar kematian Zara, khususnya jika terdapat unsur jenayah.
