TONGOD: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Barisan Nasional (BN) turut menyertai kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN-17 akan datang.
Masiung menegaskan bahawa GRS dan PH Sabah telah lama menjalin kerjasama yang stabil dan konsisten dalam mentadbir kerajaan negeri, dan tidak perlu disulam dengan kemunculan semula BN yang disifatkannya sebagai sudah hilang kepercayaan.
“Tidak mungkin persafahaman itu dapat dicapai kerana ia akan mengelirukan pengundi. GRS dan PH sudah ada persefahaman yang mantap,” katanya dalam satu kenyataan di Tongod, hari ini.
Beliau mengingatkan Perdana Menteri bahawa pada 11 Mei lalu di Tawau, Anwar sendiri menyatakan bahawa rundingan pembahagian kerusi harus dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.
Masiung tidak berselindung menyebut bahawa GRS tidak akan lupa insiden ‘Langkah Kinabalu’, iaitu cubaan rampasan kuasa politik oleh UMNO/BN yang menyaksikan kepercayaan antara kedua-dua pihak terlerai.
“Sejak peristiwa itu, pemimpin UMNO terus meniup sentimen permusuhan dan memperlekeh GRS. Malah, mereka sendiri telah mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan GRS,” ujarnya.
Katanya lagi, jika benar mahu menghormati semangat demokrasi dan kestabilan, Perdana Menteri perlu berpegang pada janji dan tidak memaksa gabungan yang jelas tidak serasi.
“Hormatilah pendirian kami. Jangan cuba-cuba campur tangan dalam formula yang telah terbukti berfungsi di Sabah. Kita bukan main catur,” tegas Masiung.
GRS dilihat kekal dengan pakatan strategik bersama PH Sabah menjelang PRN-17.
