TAWAU: Polis menahan empat lelaki warga asing dalam satu serbuan khas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Apas Parit, di sini semalam, selepas mereka disyaki memiliki 40 bilah pisau taji secara haram.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Wildlife Crime Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
“Semasa serbuan, keempat-empat suspek sedang berada dalam rumah terbabit. Polis memperkenalkan diri sebelum menahan mereka dan menemui 40 bilah pisau taji yang disembunyikan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 52 tahun dan bekerja sebagai buruh. Hanya seorang memiliki pasport sah, manakala tiga lagi didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Menurut Superintendan Champin, tiada rekod jenayah lampau dikesan terhadap kesemua suspek namun siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis agar keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Pemilikan senjata seperti ini adalah satu kesalahan serius. Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
