SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam satu kejadian di berhampiran Ladang Sakilan, Batu 25, Sandakan pada malam Ahad lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut diterima pada jam 8.25 malam melalui talian MERS999, dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan telah digerakkan ke lokasi dengan sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS.
Komander Operasi PBK I Alan Ayuh berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 9.02 malam, pasukannya mendapati sebuah kenderaan Isuzu D-Max telah melanggar bahagian belakang lori, mengakibatkan dua lelaki tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa. Seorang mangsa dikenali sebagai Mohd Haikal Jatimin, 21 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM, manakala seorang lagi mangsa, Hasbir Baso, 30 tahun, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Operasi menyelamat turut melibatkan tujuh anggota PDRM dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mangsa yang cedera diberi rawatan kecemasan di lokasi sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pasukan bomba juga menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi untuk memastikan tiada sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.30 malam.
