TAWAU: Seorang lelaki mengalami kerugian hampir RM13,000 selepas terpedaya dengan iklan palsu jualan komputer riba dan tablet yang disiarkan di platform media sosial Facebook pada tahun 2023.
Menurut laporan Polis Tawau, mangsa yang ketika itu berada di rumahnya di Kuala Penyu telah tertarik dengan iklan berkenaan dan menghubungi individu yang menyamar sebagai penjual menerusi aplikasi Telegram.
“Tanpa menyedari helah tersebut, mangsa melakukan enam transaksi pembayaran berasingan seperti yang diarahkan oleh suspek.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas barangan yang dijanjikan tidak diterima, lalu membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
“Terbaharu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun ketika menjalankan tugas rondaan. Hasil semakan melalui sistem MCAD Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati suspek mempunyai kaitan dengan kes penipuan yang dilaporkan di Kuala Penyu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Suspek kemudian ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Tawau untuk siasatan lanjut.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang urusan jual beli secara dalam talian dan melakukan semakan terhadap penjual sebelum membuat sebarang transaksi, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan siber yang kian berleluasa.
