PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa tidak memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Penjelasan ini dibuat susulan pelaksanaan OPS GASAK yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 bertujuan membanteras ketirisan subsidi LPG terutamanya melalui aktiviti haram decanting dan penggunaan oleh industri berskala sederhana dan besar.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, antara punca kuasa penguatkuasaan termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
“Penggunaan LPG tidak melebihi 42 kilogram atau bersamaan tiga tong bersubsidi bersaiz 14kg pada satu-satu masa tidak tertakluk kepada syarat memiliki PBKB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Sepanjang tempoh OPS GASAK, KPDN memberi penekanan kepada aktiviti pemeriksaan dan advokasi di premis-premis makanan dan minuman, dan tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap premis yang belum memiliki PBKB.
Bagi premis yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram mereka disarankan membuat permohonan PBKB melalui sistem dalam talian BLESS 2.0 atau berurusan dengan pejabat KPDN negeri dan cawangan berdekatan.
Dalam pada itu, pembekal LPG dibenarkan meneruskan pembekalan kepada pelanggan sedia ada termasuk pengusaha makanan dan minuman, meskipun mereka belum memiliki PBKB.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-641 6768
