Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 4,722

Keadaan banjir di Sabah kini semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,722 orang pagi ini berbanding 2,834 petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah dalam satu kenyataan pada pagi ini memaklumkan bahawa Tenom kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa banjir seramai 4,147 orang berbanding 2, 363 petang semalam. Manakala daerah Beaufort turut menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 575 pagi ini berbanding 471 petang semalam.

Kenyataan itu memaklumkan semua mangsa banjir di Sabah ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 35 PPS di Tenom dan 3 di Beaufort, dengan 17 daripadanya baru sahaja dibuka.

Dewan Sri Ontoros merupakan PPS yang menempatkan mangsa banjir terbanyak di Tenom, iaitu 383 orang, diikuti Rumah Kebudayaan Belumbung Seberang (339) dan Rumah Kebudayaan Angalor (288). Sementara di Beaufort, PPS Dewan DSP Mohd Dun Banir (238).

Banjir turut melanda beberapa kawasan di Sarawak, iaitu di kawasan Lawas dan Limbang ekoran hujan lebat sejak malam Rabu yang kini menyebabkan jumlah mangsa banjir di daerah Limbang dan Lawas meningkat kepada 426 orang.

Jumlah mangsa banjir di kedua negeri ini adalah seramai 5,148 orang pagi ini dengan peningkatan mendadak yang masih direkodkan.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version