KOTA KINABALU: Perjalanan seorang guru ke tempat kerja berakhir dengan tragedi apabila Toyota Hilux dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh enam kereta dan sebuah motosikal di Jalan Kolam, berhampiran lampu isyarat flyover Jalan Kolam, pagi tadi.
Mangsa, Arizal Wahid, 43, yang juga Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Bukit Padang menuju ke Damai ketika kemalangan berlaku kira-kira jam 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan ketika sampai di lampu isyarat berkenaan.
“Toyota Hilux itu kemudian melanggar sebuah kenderaan Ford dan sebuah motosikal sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Nissan Navara yang berada di laluan sama.
“Kenderaan berkenaan kemudiannya terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar empat lagi kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Arizal ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Shahrudin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
