Site icon TUHAU BAMBANGAN

Belia diseru pelihara & hargai khazanah warisan budaya dan adat

TUARAN: Belia diseru untuk memelihara serta menghargai khazanah warisan kebudayaan dan adat tempatan dalam negara.

Seluruh masyarakat terutama golongan belia dan remaja diharapkan dapat mengambil inisiatif untuk mempelajari dan mendalami ilmu tempatan serta adat dan budaya pelbagai kaum dalam negara.

Pertandingan Gegar Tradisi antara pengisian aktiviti hari terakhir dalam program Sambutan Hari Belia Negara (HBN) di Tuaran.

Menteri Belia dan Sukan negeri Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, program ini amat sesuai diadakan pada tahun ini di Sabah.

“Oleh kerana Sabah yang kaya dengan adat dan budaya tradisi, seluruh masyarakat terutamanya golongan belia dan remaja di harap dapat mengambil inisiatif bagi mempelajari dan mendalami ilmu tempatan, adat dan budaya kaum-kaum di Malaysia, terutamanya negeri kita yang tercinta ini.” Katanya.

Tambah beliau, “Dengan bertemakan INI MASA KITA dari sudut persepsi kebudayaan, ini amatlah bertepatan dengan inilah masanya para belia untuk terus memelihara khazanah yang berharga dan telah sinonim dengan identiti negeri kita.

“Melalui platform sebeginilah yang akan memberi pendedahan kepada warga muda untuk lebih menghargai warisan kebudayaan mereka ini.” Jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Program Gegar Tradisi sempena sambutan (HBN) peringkat kebangsaan yang berlangsung di kompleks daerah Tuaran.

Beliau yang juga merasmikan program ini mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Majlis Belia Sabah serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Difahamkan seramai sepuluh kumpulan tarian dan 10 kumpulan muzik akan menyertai pertandingan Gegar Tradisi tersebut.

Exit mobile version