Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pelajar UMS kini nikmati makanan berkualiti dengan harga RM3.50

KOTA KINABALU: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini dapat menikmati menu makanan yang berkualiti dengan harga yang sangat rendah.

Perkara ini telah pun bermula semalam dan pelajar boleh mendapatkannya di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut beliau, usaha tersebut adalah sebagai menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS, dan telah mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

“Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya.

Beliau percaya usaha pengurusan universiti ini membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40,” katanya.

Untuk rekod, terdapat sejumlah 13,179 pelajar B40 di UMS, terdiri daripada 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan. 

Sumber: UB

Exit mobile version